Selasa, 4 Disember 2012

Najis Bayi Anda : Apakah normal atau tidak


Apakah yang normal? 

Sebagai ibu, agak menakjubkan betapa banyak masa yang kita habiskan untuk memeriksa najis atau kotoran bayi kita dalam usaha untuk menentukan sama ada kekerapan, warna dan ketekalan najis itu normal atau tidak. Sebenarnya, apa yang normal bagi bayi anda bergantung kepada usia bayi, sama ada dia menyusu badan atau diberikan susu formula, dan sama ada dia sudah memulakan makanan pejal. Najis bayi anda akan sentiasa berubah semasa dia membesar dari masa bayi baru lahir sampai ke akhir tahun pertama usianya, dan dalam masa itu anda akan lebih faham tentang apa yang normal baginya. 

Tiada kekerapan membuang air besar yang boleh dikatakan tepat dan berapa kali yang paling baik. Bagi bayi yang baru dilahirkan, ini bergantung kepada sama ada bayi menyusu badan atau diberi susu formula. Bayi yang menyusu badan tanpa memakan makanan pejal akan membuang air besar lebih kurang empat kali sehari; namun, membuang air besar sekali dalam tiga hari itu juga dianggap normal, dan anda tidak perlu risau mengenai kekerapannya selagi najis bayi lembut dan mudah keluar. Kita dapati bahawa bayi yang menyusukan formula selalunya perlu membuang air besar setiap hari untuk mengelakkan sembelit. 

Najis bayi anda akan sentiasa berubah dari segi kekerapan dan warna, dari lembut dan kuning cair mustard, kepada warna kuning dengan tompok hijau, dan seterusnya berubah lagi pada keesokan harinya. Ini adalah normal. 


Apa yang akan dibuang oleh bayi saya yang baru lahir? 


Meconium adalah petanda bahawa usus bayi anda berfungsi dengan baik

Bagi beberapa hari pertama selepas kelahiran, bayi anda akan membuang najis yang dinamakan meconium. Ini merupakan bahan melekit berwarna hitam kehijauan yang berkumpul dalam usus bayi anda semasa kehamilan dan komposisinya ialah hempedu, mukus, sel dari dinding usus, rembesan dan cecair amnion. Meconium adalah petanda bahawa usus bayi anda berfungsi dengan baik, maupun sukar untuk menanggalkan kotoran itu dari punggung bayi anda.

Selepas sehari atau dua hari, selepas penyusuan menjadi kebiasaan, dan semua meconium telah dikeluarkan, warna najis akan menjadi hijau kecoklatan, lembut dan berbiji sebelum menjadi lebih kekuningan.


Apakah yang akan berlaku jika saya memberikan susu formula? 

Jika bayi anda diberikan susu formula, najis bayi anda akan berwarna kuning pucat atau coklat kekuningan, dan sisa susu formula akan menjadikannya kelihatan lebih besar dan lebih terbentuk berbanding bayi yang diberikan susu badan. Ini disebabkan susu formula tidak dapat dicernakan sepenuhnya seperti susu badan. Najis akan berbau lebih tengik, seakan-akan najis orang dewasa. 

Lazimnya, bayi yang diberikan susu formula membuang air besar sekali sehari untuk merasa selesa, dan najisnya adalah lebih besar. Namun, lagi lama najis berada dalam usus, lagi keras jadinya dan lebih sukar untuk dikeluarkan, sehingga membawa kepada sembelit. Berbincanglah dengan pakar pediatrik anda jika anda rasakan bayi anda mempunyai masalah ini.

Dan jika bayi saya menyusu badan? 

Najis bayi yang menyusu badan dan bayi yang diberikan susu formula adalah berbeza. Kolostrum dari "susu pertama" anda bertindak sebagai laksatif, membantu menolak meconium keluar dari sistem bayi anda. Apabila anda menghasilkan susu dengan sempurna, selepas kira-kira tiga hari, najis bayi anda akan berubah menjadi kuning cerah atau mustard dan berbau manis. Najis itu agak lembik tetapi bertekstur, kadang-kala berbiji atau berkental. 

Pada awal minggu pertama, bayi anda akan membuang air besar semasa atau selepas setiap penyusuan, tetapi ini akan berkurangan dan dia akan mempunyai rutinnya sendiri, selalunya membuang air besar pada masa yang sama setiap hari. Rutin ini akan berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada situasi, contohnya, rutin akan bertukar apabila anda mula memberikan makanan pejal, atau apabila bayi kurang sihat atau jika dia mula kurang menyusu. 

"Jadi, jika kami bertukar dari susu badan ke susu formula, adakah ini akan menjejaskan bayi saya?" 

Jika anda bertukar dari susu badan ke susu formula, adalah penting untuk melakukannya dengan perlahan, iaitu, biarlah pertukaran ini mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu. Ini akan memberikan masa bagi sistem perncernaan bayi anda membuat penyesuaian dan mengelakkan sembelit, dan bagi diri anda pula, mengurangkan risiko buah dada bengkak dan sakit. Sebaik saja bayi anda menyesuaikan diri dengan susu botol, cara dia membuang air besar akan bertukar lagi! 

Memulakan makanan pejal

Perubahan terbesar pada najis bayi anda akan berlaku apabila anda mula memberikannya makanan pejal. Ketika ini, najis sudah tidak mudah dibersihkan atau berbau manis seperti dulu. Dengan makanan pejal, apa yang masuk akan keluar dalam bentuk yang agak sama. Maksudnya, apabila anda memberikan karot yang dipurikan, kandungan lampin bayi akan berwarna jingga cerah. Juga, apabila bayi anda mula memakan pelbagai jenis makanan, najisnya akan menjadi lebih pekat, gelap dan berbau! Makanan yang lebih bertekstur, iaitu makanan yang kaya dengan serat seperti kismis dan kacang panggang, susah untuk dicerna, sehingga satu masa kelak apabila sistem pencernaan bayi menjadi matang secukupnya dan dapat mencerna dengan sempurna.




Apa yang tidak normal? 

Cirit-birit
Simptom-simptom cirit-birit termasuklah najis yang sangat cair dan kadang-kala dalam jumlah yang lebih banyak dan lebih kerap, dan ia akan memancut keluar dari punggung bayi anda. Bayi yang diberikan susu badan kurang cenderung untuk menghidapi cirit-birit sebab susu badan membantu merencatkan mikroorganisma yang menjadi puncanya. 

Bayi yang diberikan susu formula lebih cenderung untuk mendapat jangkitan, oleh sebab itu adalah penting untuk mensterilkan peralatan dan membasuh tangan anda. Punca cirit-birit mungkin salah satu dari yang berikut - jangkitan, seperti gastroenteritis, mengambil terlalu banyak buah-buahan atau jus, mula tumbuh gigi, atau memakan ubat atau kesensitifan atau alergi terhadap sesuatu makanan. 

Cirit-birit akan sembuh tanpa rawatan dalam masa 24 jam, tetapi jika tidak, dapatkan pemeriksaan doktor. Ibu selalunya beranggapan bahawa puncanya ialah susu formula bayi, tetapi sebelum menukar kepada jenama lain, berbincanglah dengan doktor anda untuk memastikan tidak terdapat sebarang punca lain. 

Sembelit
Ini bukan setakat bayi anda terpaksa meneran semasa membuang air besar sehingga muka bertukar menjadi merah cerah. Ia juga melibatkan simptom lain seperti kesukaran membuang air besar 
– najis berbentuk gentelan kering dan kecil 
– sakit abdomen dan senak perut, ketidakselesaan dan kadang-kala didapati najis bercampur darah
Ini mungkin disebabkan oleh fisur dubur (rekahan kecil pada dubur) akibat tahi yang keras. Bayi yang diberikan susu badan tidak selalu mengalami sembelit berbanding dengan bayi yang diberikan susu formula, sebab susu ibu mengandungi nutrien yang menyebabkan najis mereka menjadi lembut. 

Jika bayi anda menghidapi sembelit bawalah dia berjumpa doktor, terutamanya jika terdapat darah dalam najis, supaya dapat diketahui puncanya. Bagi bayi yang sudah mengambil makanan pejal, mungkin doktor akan menasihatkan anda supaya meningkatkan jumlah cecair dan serat dalam dietnya. Ini boleh dilakukan dengan memberikannya buah prun atau buah aprikot yang dipuri. 

Najis hijau
Jika najis bayi anda berwarna hijau dan berbuih, besar kemungkinan bayi mendapat terlalu banyak laktosa (gula asli yang terdapat dalam susu) yang boleh berlaku jika dia kerap menyusu tetapi tidak mendapat susu yang lemak yang boleh mengenyangkan. Ia juga mungkin disebabkan terlebih penyusuan atau kurang penyusuan, atau ia adalah tanda bahawa bayi anda mempunyai kuman dalam perut. 

Pastikan bayi anda habis menghisap satu buah dada sebelum menghisap buah dada yang lagi satu. Jika sakit perut masih tidak sembuh dalam masa 24 jam, berundinglah dengan doktor anda untuk cuba mencari punca masalahnya sebab ia mungkin disebabkan kesensitifan makanan, atau ubat yang diambilnya atau rutin penyusuan anda. 

Calitan darah
Calitan darah dalam najis bayi anda akan berlaku jika dia sembelit sebab peneranan bayi semasa membuang air besar boleh menyebabkan fisur dubur. Namun begitu, elok jika anda mendapatkan pemeriksaan doktor untuk memastikan ini sebab sebenar dan tiada sebab-sebab lain.




**artikel diatas dikongsi daripada BabyCenter.

Hubungilah 
Hearts By E (HBE) untuk pertanyaan & maklumat produk Shaklee di talian 017-9470711 atau email ke elisa.lu@gmail.com
Hearts By E (HBE) adalah Shaklee Independent Distributor ID 893611 yang menyediakan penghantaran keseluruh Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...