Berjalan merupakan satu cara yang baik untuk mengurangkan berat badan. Bagi kebanyakan orang ianya lebih menyeronokkan dari berjoging, berbasikal atau bersenam di gym kerana ianya lebih mudah dilakukan, dan lebih selesa untuk sendi-sendi kaki dan badan. Berjalan juga adalah salah satu bentuk senaman yang paling selamat dilakukan. Oleh sebab itu, adalah lebih mudah untuk seseorang itu kekal 'setia' pada program senaman berjalan jangka panjang jika dibandingkan dengan program senaman lain. Berjalan juga penting untuk mengekalkan berat badan yang sudah turun.
Berjalan pada kadar yang sederhana sahaja selama 30-60 minit sudah cukup untuk membakar lemak dan boleh membina otot bagi meningkatkan metabolisme badan. Berjalan selama sejam sehari juga boleh mengurangkan risiko penyakit jantung, kanser payudara, kanser kolon, kencing manis dan strok.
Berat badan serta jarak anda berjalan menentukan kalori tenaga yang anda bakar sewaktu berjalan. Kelajuan berjalan kurang pentingnya jika dibandingkan dengan jarak dan berat badan. Sebagai panduan am, 100 kalori dibakar dalam setiap 1.5 km bagi seseorang yang beratnya sebanyak 82 kg (kira-kira 180 paun) dan 65 kalori setiap 1.5 km bagi orang yang beratnya 54 kg (kira-kira120-pound).
Oleh itu cara yang paling mudah untuk membakar lebih banyak kalori adalah dengan berjalan pada jarak yang lebih jauh. Semakin jauh anda berjalan, semakin banyak kalori yang anda bakar. Tumpukan untuk menambah jarak berjalan dahulu sebelum anda mula untuk menambah kelajuan berjalan. Secara beransur-ansur, tambahkan kekerapan anda berjalan setiap hari, dengan matlamat untuk berjalan selama 30 hingga 60 minit pada satu masa. Sasarkan untuk berjalan selama lima atau enam hari seminggu.
Walaupun begitu, lama-kelamaan berjalan boleh menjadi agak bosan. Atasi kebosanan ini dengan mendengar muzik kegemaran anda menggunakan headphone. Selain itu, selalulah menukar laluan atau tempat anda berjalan, atau sekali-sekala cubalah berjalan di dalam rumah atau di gym menggunakan treadmill. Sambil berjalan atas treadmill, anda juga boleh menonton TV. Jangan jadikan kebosanan sebagai alasan untuk tidak bersenam! Serapkan senaman berjalan sebagai sebahagian daripada rutin harian anda dan berikan ia keutamaan.
Disamping itu, untuk hasil yang lebih baik dalam mengurangkan berat badan, kurangkan pengambilan makanan berkalori tinggi. Ambil tahu berapa banyak kalori yang anda makan serta berapa banyak yang anda bakar semasa bersenam.
tip : kevinzahri
Tiada ulasan:
Catat Ulasan